Apakah imbasan 3D dan 4D?

Saya selalu mendengar tentang skan 3D dan 4D. Apakah itu, dan bagaimana saya boleh melakukannya?

Skan 3-D semasa 14 minggu
Skan 3-D semasa 14 minggu

Skan 3-D adalah gambar-gambar tidak bergerak yang menunjukkan bayi dalam tiga dimensi, seperti foto-foto yang anda pernah lihat dalam surat khabar dan majalah.

Skan 4-D (waktu merupakan dimensi keempat) adalah imej 3-D bayi yang bergerak.
Jika anda bercadang untuk membuat skan 4-D, anda akan diberi rakaman CD atau DVDnya.

Anda mungkin menunggu-nunggu skan pertama anda, tetapi menjadi kecewa apabila melihat rangka kelabu kabur yang merupakan imej dua-dimensi yang biasa. Ini disebabkan skan terus menembusi bayi, jadi foto-foto itu menunjukkan organ-organ dalaman bayi.

 

 

3d4dscan 1Dengan skan 3-D dan 4-D, anda akan lihat kulit bayi menutupi organ-organ dalamannya.

Anda boleh lihat bentuk mulut dan hidung bayi anda, lihat dia menguap atau menjelir lidahnya, dan boleh menentukan secara kasar samada rupanya seakan mama atau abah.

Dari kaca mata perubatan, manfaat skan 3-D dan 4-D agak terbatas. Ada kalanya ia berguna bagi memberikan maklumat tambahan tentang keabnormalan yang sudah diketahui. Oleh sebab skan-skan ini mampu menunjukkan lebih detil dari sudut-sudut berlainan, ianya boleh membantu dalam diagnosis masalah seperti bibir rekah. Ini membantu doktor merancang pembetulan selepas kelahiran. Skan 3-D juga berguna bagi melihat jantung dan organ-organ dalaman yang lain.

Skan seperti ini juga selamat seperti skan biasa, sebab imejnya terdiri dari bahagian-bahagian imej dua dimensi yang dijadikan gambar. Belum ada sebarang kesan buruk yang didapati, walau bagaimanapun pakar-pakar mengesyorkan supaya skan dijalankan atas sebab-sebab perubatan sahaja, oleh pengamal yang berkelayakan penuh. Baca lebih lanjut tentang skan dan keselamatan.

Masa paling baik untuk mendapatkan skan 3-D atau 4-D adalah antara 26 minggu hingga 30 minggu. Sebelum 26 minggu bayi anda mempunyai terlalu sedikit lemak di bawah kulitnya, jadi tulang muka boleh ternampak melalui kulit. Selepas 30 minggu kepalanya mungkin telah masuk agak dalam di pelvis anda, jadi anda mungkin tak dapat lihat muka bayi anda.

Sudah tentu anda mahu lihat muka bayi anda dalam skan itu, tetapi ini tak selalunya berlaku – semuanya bergantung atas posisi bayi anda. Jika dia terbaring muka ke atas, dengan banyak cecair amnion mengelilingi raut mukanya, anda akan dapat lihat mukanya dengan jelas. Tetapi, jika dia terbaring menghadap belakang anda, atau tidak begitu banyak cecair mengelilinginya, atau jika anda mempunyai banyak lemak perut, tidak banyak yang dapat dilihat.

Kadangkala doktor akan menyuruh anda pergi berjalan-jalan dahulu atau datang lagi dalam masa seminggu apabila bayi anda telah beralih ke posisi yang lebih baik. Jika betul-betul tidak dapat melihat mukanya dengan jelas, anda boleh melihat jari-jari tangan dan kakinya.

Disemak oleh Dr Patrick Chia, seorang perunding obstetrik dan ginekologi yang bertempat di Kuala Lumpur, pakar dalam penyaringan dan pengurusan keabnormalan fetus dan penjagaan kehamilan berisiko tinggi

10 langkah untuk kehamilan sihat

Kehamilan adalah masa yang paling sesuai untuk anda mula menjaga diri anda dengan baik dari kedua-dua segi fizikal dan juga emosi. Anda memberi diri anda peluang terbaik untuk melalui kehamilan bebas daripada masalah dan memperolehi bayi yang sihat jika anda mengikuti beberapa panduan yang mudah:

1. Rancangkan rawatan antenatal anda dari awal

Penjagaan antenatal yang baik adalah penting untuk kesihatan bayi anda. Memilih doktor yang akan menjaga anda dari awal lagi bermakna anda akan mempunyai banyak masa untuk membina hubungan yang baik sebagai persediaan untuk kelahiran.

Walaupun jika anda tidak mempunyai pilihan dari segi siapa yang anda mahu untuk mengendalikan anda (seperti di klinik-klinik dan hospital kerajaan), anda masih boleh membina persefahaman yang baik dengan seorang bidan atau pakar obstetrik yang sering anda jumpa dalam tempoh masa anda membuat pemeriksaan kehamilan.

Dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai pilihan rawatan antenatal anda.

2. Makan dengan baik

Anda tidak perlu “makan untuk dua orang” apabila anda hamil, atau minum susu penuh krim atau mengambil makanan tambahan yang dipasarkan sebagai susu untuk ibu. Malah, keperluan tenaga anda tidak berubah dalam tempoh enam bulan pertama kehamilan, dan keperluan ini hanya meningkat sedikit dalam tempoh tiga bulan yang terakhir (sebanyak sekitar 200 kalori sehari).

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengambil diet yang sihat dan seimbang. Ramai wanita hilang selera terhadap makanan tertentu, tetapi makanan tersebut memang boleh digantikan dengan makanan lain yang mengandungi nilai-nilai nutrisi yang sama.

Pastikan diet anda merangkumi banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (sekurang-kurangnya lima hidangan sehari). Sediakan hidangan makanan anda berasaskan karbohidrat seperti roti, pasta dan nasi (sebaik-baiknya jenis bijirin sempurna supaya anda mendapat serat pada kadar yang banyak). Sertakan protein seperti ikan, daging, telur, kacang atau kekacang polong, dan sejumlah susu dan makanan tenusu, setiap hari.

Juga, adalah penting untuk tidak mengabaikan sarapan pagi di samping mengawal saiz hidangan dan pemakanan snek di antara waktu makan.

3. Berhati-hati tentang kebersihan makanan

Adalah lebih baik untuk mengelakkan makanan tertentu semasa hamil sebab ia membawa risiko kesihatan bagi bayi anda.

Jangkitan salmonella boleh berlaku disebabkan memakan daging ayam yang tidak dimasak sempurna dan telur mentah atau yang separa masak. (Baca lebih lanjut mengenai kebersihan makanan semasa hamil.)

Listeria, yang boleh menyebabkan keguguran atau penyakit yang teruk bagi bayi baru lahir, mungkin berpuncakan keju lapuk matang yang lembut, seperti Brie dan Camembert, dan keju berurat biru, seperti Stilton. Jangan makan semua ini semasa anda hamil. Keju keras, seperti cheddar dan keju lembut diproses, seperti keju kotej, Philadelphia dan Boursin, adalah selamat untuk dimakan.

Untuk mengelakkan toxoplasmosis, yang sebenarnya jarang berlaku, namun boleh menjejaskan bayi dalam kandungan secara serius, ia adalah penting untuk memakai sarung tangan apabila mengendalikan pasir kumbahan kucing dan tanah tanaman, juga, elakkan daripada makan daging yang kurang masak atau mentah, dan cucilah sayur-sayuran dan sayur salad dengan rapi untuk membersihkannya dari sebarang tanah atau kotoran.

Jangkitan salmonella boleh berlaku akibat memakan ayam yang kurang masak, dan telur mentah atau dimasak lembut. (Baca lebih lanjut mengenai kebersihan makanan semasa hamil).

4. Mengambil tambahan folik asid dan memakan ikan

Tambahan diet yang dianggap benar-benar penting ialah folik asid (juga dikenali sebagai folat), yang boleh membantu mencegah spina bifida dan lain-lain kecacatan tiub neural bayi.

Spina bifida adalah penyakit kongenital yang serius. Ia berlaku apabila tiub yang melindungi sistem saraf pusat tidak menutup sepenuhnya dan boleh mengakibatkan ketidakupayaan yang teruk. Semua wanita yang merancang untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian folik asid 400mcg dari masa pembenihan dan sepanjang tiga bulan pertama kehamilan.

Anda juga boleh meningkatkan pengambilan folat semulajadi melalui pemakanan anda. Folat didapati dalam banyak makanan yang berbeza, terutama sayur-sayuran dan bijirin sarapan yang diperkuatkan dengan vitamin. Lain-lain nutrien yang penting untuk kesihatan anda dan bayi anda adalah besi dan kalsium, yang pada umumnya diperolehi melalui pemakanan biasa anda.

Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa minyak ikan yang mengandungi asid lemak omega-3, mungkin mempunyai kesan yang baik terhadap praeklampsia, berat kelahiran bayi dan perkembangan otak dan saraf bayi di peringkat akhir kehamilan.

Ikan berminyak mengandungi protein, mineral, vitamin D dan asid lemak omega-3, yang bayi anda perlukan semasa dia membesar dan berkembang, tetapi ia juga mengandungi merkuri dan bahan pencemar lain. Syor semasa ialah supaya memakan ikan berminyak seperti hering, tenggiri, salmon atau sardin tidak lebih dari dua kali seminggu, tetapi anda masih boleh memakan jenis ikan lain seberapa banyak yang anda suka.

Jika anda tidak suka ikan, tambahan minyak ikan senang diperolehi (pilih jenama yang bebas Vitamin A berbentuk retinol, yang tidak digalakkan semasa kehamilan).

5. Bersenam selalu

Satu program senaman boleh memberi anda kekuatan dan ketahanan yang akan diperlukan untuk menampung berat badan anda yang akan bertambah semasa mengandung dan untuk menangani tekanan fizikal kelahiran. Ini juga akan memudahkan anda untuk kembali balik ke bentuk badan asal anda selepas bayi anda dilahirkan.

Senaman boleh menambah perasaan ceria dan membantu anda menangkis kemurungan semasa mengandung. Pakar-pakar tidak pasti macam mana senaman menyebabkannya, tetapi terdapat bukti yang semakin meluas bahawa ia mempunyai kesan positif ke atas bahan kimia otak seperti serotonin dan dopamina, yang membantu mengawal emosi dan perasaan anda.

Jika anda biasa menjalankan senaman dalam bentuk sejenis sukan, anda boleh teruskan sahaja selagi ia selesa untuk anda, melainkan jika sukan itu membawa risiko jatuh atau terhantuk. Senaman lebih ringan seperti berjalan, berenang dan aerobik air juga sangat bermanfaat.

6. Mula lakukan senaman lantai pelvik

Adalah agak biasa bagi wanita yang mengandung atau yang telah melahirkan anak untuk mengalami masalah tekanan inkontinens; apabila sedikit air kencing bocor akibat aktiviti tertentu, termasuk bersin, ketawa dan senaman. Anda boleh membantu mengelakkan perkara ini daripada berlaku dengan melakukan senaman lantai pelvik, dan mulakanlah ini sebelum hamil atau semasa mengandung.

Otot lantai pelvik adalah gantungan otot di dasar pelvis anda yang menyokong pundi kencing, vagina dan rektum. Ianya boleh terasa lemah daripada biasa semasa hamil sebab tekanan tambahan ke atasnya, dan sebab hormon kehamilan menyebabkannya mengendur sedikit.

Lantai pelvik anda boleh dikencang dan diperkuatkan dengan program latihan harian. Cadangan semasa mengesyorkan anda melakukan senaman lantai pelvik tiga kali sehari, sebanyak lapan kontraksi setiap kali. Baca artikel kami mengenai senaman lantai pelvik semasa mengandung untuk maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk melakukannya dengan betul.

7. Hadkan pengambilan alkohol

Sebab sebarang alkohol yang anda minum akan sampai kepada bayi anda dengan cepat melalui aliran darah anda dan plasenta, anda boleh mengambil keputusan untuk tidak mengambilnya sama sekali, atau sekurang-kurangnya untuk mengawal jumlah yang anda minum.

Di UK, Kolej Diraja Physician, dan baru-baru ini, Jabatan Kesihatan, mengesyorkan bahawa wanita hamil mengawal keadaan dengan menjauhi alkohol sama sekali. Kolej Diraja Obstetrisian dan Ginekologi dan Agensi Piawaian Makanan mengesyorkan, jika anda bercadang untuk masih minum, supaya menghadkannya kepada satu atau dua unit alkohol, tidak lebih daripada sekali atau dua kali seminggu, dan jangan sampai mabuk.

Wanita yang banyak minum secara kerap (lebih daripada enam unit sehari) semasa mengandung dianggap berisiko yang lebih tinggi untuk melahirkan bayi dengan gangguan spektrum alkohol janin (Fetal Alcohol Syndrome), yang menyebabkan pelbagai masalah dari masalah pembelajaran kepada kepada masalah kecacatan kelahiran yang lebih serius.

8. Kurangkan pengambilan kafein

Kopi, teh dan minuman jenis cola adalah perangsang yang sederhana, dan walaupun bukti penyelidikan belum lagi jelas, sesetengah penyelidik berpendapat bahawa terlalu banyak kafein boleh menyumbang kepada risiko mendapat bayi mempunyai berat badan lahir rendah, atau meningkatkan risiko keguguran.

Nasihat semasa mencadangkan bahawa dua cawan kopi (bersamaan empat cawan teh atau lima tin cola) sehari tidak akan menjejaskan bayi anda, walaupun satu kajian menunjukkan bahawa tahap kafein yang rendah masih boleh meningkatkan risiko keguguran.

Sama seperti alkohol, di mana lebih baik jika lebih berhati-hati, anda juga mungkin boleh memilih untuk mengurangkan pengambilan kafein secara signifikan, atau, sebaliknya, beralih kepada kopi tanpa kafein, teh, atau jus buah-buahan, terutamanya semasa trimester yang pertama. Alternatif yang segar ialah segelas air dengan perahan sehiris limau atau lemon.

9. Berhenti merokok

Wanita yang merokok meningkatkan risiko keguguran, bersalin pramatang, kelahiran mati dan kematian kot.

Merokok pada trimester pertama juga meningkatkan sedikit risiko melahirkan anak dengan bibir atau lelangit rekah.

Walaupun masa paling baik untuk berhenti merokok ialah sebelum anda merancang untuk hamil, namun begitu, apa jua pengurangan dalam bilangan rokok yang anda hisap setiap hari semasa hamil akan memberikan bayi anda peluang yang lebih baik. (Baca nasihat lanjut mengenai bagaimana untuk berhenti merokok semasa kehamilan.)

10. Lebihkan berehat

Keletihan yang anda rasakan di trimester pertama dan ketiga sebenarnya adalah cara badan anda memberitahu anda supaya “jangan terlalu aktif”. Mungkin tidur di tengah hari terasa seperti perbuatan manja yang anda tidak mampu lakukan, tetapi anda dan bayi anda akan memdapat manfaat darinya. Jika anda tidak boleh tidur, sekurang-kurangnya letakkan kaki ke atas dan berehatlah secara apapun yang sesuai dengan keperluan anda selama 30 minit atau lebih,.

Jika sakit belakang mengganggu tidur anda, cuba urutan (beritahu ahli terapi yang anda hamil atau carilah bidan yang berpengalaman dalam membantu wanita hamil), kelas natal air, atau kelas senaman khusus untuk penjagaan belakang. Senaman dan aktiviti relaks juga boleh membantu dengan masalah tidur yang berkaitan dengan stres. Cuba teknik relaks, yang selamat semasa mengandung, termasuk regangan dan pernafasan dalam. Jangan lupa memberitahu pelatih yang mengendalikan kelas senaman dan relaks itu yang anda sedang hamil atau pilihlah kelas khusus untuk wanita hamil.

Adakah telefon bimbit selamat untuk digunakan semasa hamil?

pregnant-mobile-135544181-621x351Kami tak boleh cakap dengan nyata samada menggunakan telefon bimbit itu selamat apabila anda hamil. Telefon bimbit hanya mula digunakan secara meluas sejak 1990an, jadi adalah sukar untuk menentukan kesan jangka panjang setakat ini.

Kajian yang dilakukan setakat ini mencadangkan bahawa tiada risiko kesihatan yang serius akibat penggunaan telefon bimbit untuk jangka masa pendek. Namun, semasa hamil, mungkin anda mahu lebih berwaspada agar terjamin keselamatan.

Dua kajian berkaitan mendapat hubungan antara bayi terdedah kepada telefon bimbit dalam uterus (rahim) dan masalah perlakuan, seperti hiperaktiviti, semasa di zaman kanak-kanak. Kanak-kanak yang menggunakan telefon bimbit nampaknya mempunyai risiko besar mempunyai masalah perlakuan apabila besar.

Namun, mungkin ada penerangan lain bagi masalah perlakuan itu. Ada kemungkinan yang jika ibu menggunakan telefon bimbitnya secara kerap, dia akan memberi kurang perhatian kepada bayinya secara menyeluruh. Jika bayi atau kanak-kanak kecil tidak menerima perhatian yang dia perlukan, dia mungkin membina masalah perlakuan.

Kajian yang lebih baru antara dua di atas mengambilkira kenyataan yang kanak-kanak mungkin terjejas jika kurang mendapat perhatian. Namun begitu, masih tiada cukup bukti bahawa telefon bimbit jika digunakan secara terus menyebabkan masalah perlakuan.

Telefon bimbit mengeluarkan tahap gelombang radio yang rendah, diberi nama radiasi elektromagnet tak mengion. Banyak alat-alat harian mempunyainya. Television anda, komputer dan ketuhar gelombang mikro semua mengeluarkan radiasi ini. Radiasi tak mengion adalah lebih lembut dari radiasi mengion, yang dikeluarkan oleh X-ray, mesin terapi radiasi dan skan CT. Pakar bersetuju yang radiasi tak mengion tidak berkebarangkalian membahayakan bayi belum lahir.

Setiap telefon bimbit dinilai ukur mengikut tahap radiasi yang dikeluarkan. Pengukuran ini diberi nama nilai kadar penyerapan spesifik (SAR – specific absorption rate). Nilai SAR menyatakan jumlah radiasi, atau tenaga, yang diserap oleh badan anda semasa menggunakan telefon. Lebih tinggi SAR telefon bimbit anda, lebih banyak radiasi yang diserap.

Anda boleh menyemak nilai SAR telefon anda:
dalam arahan telefon bimbit anda;
di laman web pengeluar;
di www.sarvalues.com atau www.mobile-phones-uk.org.uk.

Dari segi penggunaan, jumlah tenaga yang dipancarkan oleh telefon bimbit anda bergantung kepada berapa kuat signal itu. Lebih kuat signal, lebih kurang tenaga yang diperlukan oleh telefon untuk berfungsi, dan lebih rendah nilai SAR. Jadi, jika anda hanya menggunakan telefon anda apabila anda mempunyai signal kuat, ini satu cara untuk mengurangkan tahap radiasi yang terdedah kepada anda.

Ramai antara kita bergantungkan telefon bimbit setiap hari. Oleh itu, jika anda perlu menggunakan telefon, tak perlu bimbang sangat. Anda boleh mengurangkan pendedahan anda dengan cara-cara berikut:
gunakan telefon bimbit anda seberapa minima yang boleh, atau hanya jika tiada pilihan lain;
hantar teks atau guna telefon talian bukan telefon bimbit untuk membuat panggilan;
pastikan panggilan anda pendek;
cari tempat di mana anda mendapat signal yang kuat sebelum membuat panggilan.
Menggunakan alat bebas tangan boleh mengurangkan SAR terkena ke bahagian kepala anda semasa membuat panggilan. Namun begitu, alat bebas tangan boleh meningkatkan SAR bagi keseluruhan badan anda. Ini mungkin sesuatu yang hendak dielakkan semasa anda hamil.

Apa itu Ultrasound?

Skan ultrasound melibatkan penghantaran bunyi frekuensi tinggi melalui uterus. Bunyi itu melantun dari bayi dan gema yang melantun kembali itulah yang diterjemah oleh komputer untuk menghasilkan imej atas skrin yang menampakkan posisi dan pergerakan bayi. Tisu keras seperti tulang memantul gema yang sangat besar yang menjelma sebagai warna putih dalam imej, dan tisu lembut kelihatan kelabu dan berbintik. Bendalir (seperti bendalir amnion dalam mana bayi terapung) tidak memantul sebarang gema, jadi kelihatan hitam. Perbezaan-perbezaan dalam kegelapan warna imej yang berlainan antara warna putih, kelabu dan hitam itulah yang membolehkan pakar obstetrik anda menginterpretasikan gambar skan.

Ultrasound_Terese Winslow

Kebanyakan ibubapa menunggu skan dengan gembira sebab ianya memberi imbasan bayi mereka buat pertama kali. Doktor anda mungkin memberikan anda salinan cetak imej bayi anda untuk kenang-kenangan. Namun begitu, adalah penting untuk mengingati bahawa tujuan utama skan itu bukanlah untuk mendapatkan foto pertama untuk album bayi anda, atau untuk mengetahui jantina bayi. Ia adalah untuk menentukan samada bayi anda membesar dan berkembang secara normal.