Apakah Nuchal Translucency?

Ini ialah cecair di bawah kulit pada tengkuk bayi. Ia boleh diukur menggunakan ultrasound semasa bayi anda di antara 11 minggu dan 13 minggu dan enam hari. Cecair ini ada pada kesemua bayi, tetapi ramai bayi dengan sindrom Down mempunyai cecair ini pada tahap yang lebih tinggi.

Imbasan nuchal translucency (NT) ialah ujian saringan yang menilai samada bayi anda berkemungkinan mempunyai sindrom Down. Ujian saringan hanya boleh menganggarkan risiko bayi anda mempunyai sindrom Down, manakala ujian diagnostik seperti CVS atau amniosintesis akan memberi anda diagnosis yang tepat (tetapi mempunyai risiko kecil keguguran).

Imbasan NT tidak dapat memberitahu dengan tepat samada bayi anda mengalaminya, tetapi ia boleh membantu anda membuat keputusan samada perlu membuat ujian diagnostik atau tidak.

Bagaimanakah imbasan NT ini dilakukan?

Kelebaran NT akan diukur. Kulit akan kelihatan sebagai satu garisan putih, dan cecair di bawahnya akan kelihatan hitam.

NT yang berukuran sehingga 2mm adalah normal pada kira-kira minggu ke-11, dan sehingga kira-kira 2.8mm menjelang minggu ke-13 dan enam hari. NT biasanya bertambah sekata dengan tumbesaran bayi. Pertambahan NT tidak bermakna pasti ada masalah. Ada di antara bayi tanpa sindrom Down juga mengalami peningkatan NT. Apabila NT bertambah, risiko Down dan ketaknormalan kromosom lain juga meningkat.

Berapa tepatkah imbasan nuchal translucency ini?

Imbasan NT mengesan kira-kira 75 peratus bayi dengan sindrom Down. Gabungan imbasan NT dan ujian darah boleh memberi keputusan yang lebih tepat. Ujian darah mengukur tahap beta-hCG bebas hormon dan protein PAPP-A. Bayi dengan sindrom Down biasanya mempunyai tahap hCG yang tinggi dan PAPP-A yang rendah. Apabila imbasan NT digabungkan dengan ujian darah ini, kadar pengesanan meningkat sehingga kira-kira 90 peratus. Ujian ini dipanggil ujian gabungan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

*